PRESS 5
Songket Seni Warisan Agung dilancarkan
08.04.05 Berita Harian
SONGKET memang terkenal kerana keanggunan tenunannya yang membanggakan negara sesuai dengan panggilan Seni Warisan Agung yang diberikan kepadanya.
Untuk meneruskan keagungan songket, TV3 dan kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini melancarkan kempen di Aryani Resort, Merang, Terengganu bagi mengembalikan zaman kegemilangannya.
Kempen bertemakan Songket - Seni Warisan Agung itu dirasmikan pelancarannya oleh isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Endon Mahmood.
Hadir sama Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ketua Pegawai Operasi TV3, Datuk Farid Ridzuan.
Projek yang berjalan sepanjang tahun ini dilaksanakan selepas kejayaan kempen Kebaya Nonya Splendour yang mana Datin Seri Endon juga sebagai penaungnya.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata usaha meningkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam menghasilkan songket yang menepati citarasa universal atau boleh diterima semua rakyat perlu dilakukan.
"Kita perlu berjaya dalam hal ini sebelum kita membawa songket ke persada antarabangsa kerana cabaran menghasilkan songkat tradisional yang berunsur atau motif moden bukanlah satu kerja mudah tetapi boleh dilakukan jika pereka dan pembuat songket memahami citarasa masyarakat hari ini," katanya.
Beliau berkata, dengan penggunaan teknologi baru dapat mengurangkan kos pembuatan songket supaya mampu dibeli dan diguna lebih ramai anggota masyarakat.
"Saya berharap sokongan saya kepada industri songket ini dapat membantu mereka yang terbabit sebagaimana industri batik yang berjaya meningkatkan penjualan dan melahirkan minat dan azam baru," katanya.
Sementara itu dalam ucapannya, Idris berkata ketika ini 327 penenun songket di seluruh negara degan 97.5 peratus daripadanya berada di Terengganu dan 2.5 peratus lagi di Kelantan, Pahang dan Sarawak.
Berdasarkan rekod, katanya hanya 280 penenun yang masih aktif di negeri itu.
"Sehingga tahun lalu, sejumlah RM268,465 Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang disalurkan menerusi Perbadanan Kraf Tangan Malaysia diberikan kepada 149 pengusaha. Bantuan yang diberikan dalam bentuk alat pra tenun serta alat menerai benang (rahak), alat menganing (anian), gigi jentera dan kek tenunan.
Kerajaan negeri juga, katanya melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyediakan Skin Pinjaman Tanpa Faedah di bawah Tabung Pembangunan Uahawan Terengganu (TPUT) yang memberi ruang kepada pengusaha industri ini mendapat kemudahan pembiayaan modal sehingga RM50,000.
"Dengan kemudahan ini kerajaan yakin taraf industri songket Terengganu dapat ditingkatkan lagi," katanya.
Idris juga mencadangkan supaya songket dijadikan pakaian rasmi oleh Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Berucap pada majlis itu Farid berkata, projek ini mempunyai beberapa objektif utama termasuk memartabatkan kembali songket Malaysia ke peringkat teratas.
"TV3 berhajat mendidik serta berkongsi dengan orang ramai betapa pentingnya untuk mengekalkan warisan, jika tidak ia menjadi tinggalan lama yang mungkin dilupakan," katanya.
Beliau berkata, TV3 juga berharap dapat membantu mengekalkan penjualan songket di samping menggalakkan pengeluar menghasilkan lebih banyak songket bercorak asli dan bernilai komersial dengan memelihara mutu warisannya.