Cart 0

Songket - Simbol Keindahan Tenunan Melayu

PRESS 4

Songket - Simbol Keindahan Tenunan Melayu

25.01.05 Berita Harian


Nukilan Norwani Mohd Nawawi di dalam buku bertajuk Songket Malaysia menyatakan songket merupakan simbol keaslian dan kesempurnaan hasil tenunan Melayu sejak dahulu lagi.

Perkataan songket berasal daripada perkataan orang Melayu "menyongket" yang bermaksud sulaman menggunakan benang emas dan perak tetapi songket bukan hasil sulaman kerana ia menggunakan teknik dan peralatan khas yang memerlukan masa dan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkannya.

Persalinan orang Melayu secara tradisinya telah memartabatkan tenunan songket sebagai lambang pemakaian yang berprestij dan hanya digayakan oleh golongan bangsawan keturunan di raja.

Bagaimana pun perubahan masa telah melebarkan penggunaan songket di kalangan rakyat jelata dalam pelbagai fesyen dan penampilan.

Ekspresi seni Melayu yang tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas ini wajar dipelihara agak tidak hilang ditelan zaman apatah lagi dengan kemasukan pengaruh fesyen dari luar negara.

Secara peribadinya sokongan daripada pihak kerajaan untuk terus mendaulatkan hasil kraftangan tempatan amat dialu-alukan.

Mengangkat songket ke tempat yang sewajarnya telah diterjemahkan melalui majlis Program Songket Anggun Lagi Menawan 2005 bertempat di Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal.

Dalam ucapannya, Shafie berkata sebagai salah satu warisan Melayu lama, songket memerlukan ketelitian dan daya kreativiti yang tinggi untuk ditenun.

"Songket pernah dinobatkan sebagai ratu fabrik satu ketika dahulu dan terbukti cukup unik dan berkualiti. Keindahan dan ketinggian nilai seninya sentiasa digunakan dalam majlis-majlis keraian seperti perkahwinan, musim perayaan dan majlis diraja.

"Di negara ini pembuatan songket masih diteruskan oleh sebilangan kecil usahawan dan berdasarkan perangkaan terdapat 327 orang penenun songket di seluruh negara di mana 97.5 peratus daripadanya beroperasi di Terengganu dan selebihnya di Kelantan, Pahang dan Sarawak," katanya.

Komersial

Beliau menambah persaingan daripada kemasukan songket yang diimport dari luar seperti Pakistan dan India yang menggunakan mesin untuk menghasilkannya dikhuatiri akan merendahkan mutu pembuatan songket.

Justeru katanya, industri songket tempatan perlu dipertingkat dan dikomersialkan penggunaannya hingga ke peringkat antarabangsa.

"Kementerian telah mengambil inisiatif membantu usahawan mempromosi songket Malaysia dengan lebih meluas yang bertujuan menggalakkan perkembangan perdagangan dalam negeri dan menggalakkan pengusaha tempatan untuk lebih maju dan berdaya saing.

"Program yang pertama kali diadakan ini bertujuan mencetuskan idea-idea baru bagi kegunaan songket, mengenengahkan fesyen-fesyen terbaru yang boleh disesuaikan dan menggalakkan generasi muda meminati pemakaian songket," katanya.

Sehubungan itu bahagian pembangunan dan perniagaan kementerian telah dipertanggungjawabkan menyediakan latihan pembangunan usahawan, kemudahan, intensif dan pendedahan yang relevan kepada pengusaha songket.

"Penyelidikan dan pembangunan tersebut akan merangkumi mencari bahan-bahan alternatif serta alat tenunan yang lebih baik dengan menampilkan rekaan dan motif moden dan kontemporari.

"Seterusnya menggalakkan penggunaan songket lebih meluas selain sampin, songket juga menarik dijadikan hiasan dinding, beg tangan, sarung kusyen, dompet dan kulit diari semata-mata." ujarnya.

Program promosi songket yang berlangsung di Mid Valley mendedahkan orang ramai kepada kesenian songket dan demonstrasi menenun.

Pengaruh proses modenisasi yang berlaku turut membawa perubahan ke atas pembuatan songket dan hasilnya, corak tradisi seperti bunga tabur dan pucuk rebung kini digantikan dengan keindahan flora dan fauna serta dasar laut yang tampak eksklusif dan mencecah puluhan ribu ringgit.

Bibah Songket amat terkenal di kalangan penggemar songket kerana kualiti dan rekaannya yang eksklusif antara peserta yang mengambil bahagian.

Dimiliki oleh Habibah Zikri, 58, wanita yang berusaha mengekalkan kemahiran menenun ini begitu teruja apabila program promosi songket diadakan di ibu kota.

"Program ini menunjukkan kesungguhan pihak kerajaan untuk meneruskan kesinambungan gemilang tenunan songket tempatan.

"Pameran ini sekali gus mendedahkan penggunaan songket di kalangan generasi muda melalui pelbagai rekaan dan fesyen," katanya.

Mengusahakan songket lebih 20 tahun bakat dan kreativiti Habibah bagai sebutir intan, semakin digilap, sinarnya semakin bergemerlapan.

Apa yang lebih mengagumkan, kemahiran dan kebolehan yang dimiliki bukan diwarisi daripada keturunan sebaliknya berasaskan minat dan kelulusan yang diperakui dari Universiti Teknologi Mara dalam bidang Senireka Tekstil pada tahun 1974.

Penggunaan

Peluang bekerja dengan Kraf tangan Malaysia Terengganu merupakan detik awal penglibatannya dalam pembuatan tenunan songket.

"Saya meletak jawatan dan memulakan perniagaan sendiri dengan menyuntik kepelbagaian rekaan dan corak," ceritanya.

Namun corak asas yang menjadi induk seperti pucuk rebung, tampuk manggis, bunga tabur dan sebagainya, Habibah kekalkan untuk memelihara keaslian songket.

Kata Habibah, permintaan pelanggan yang inginkan kelainan dalam rekaan songket mencabar kebolehannya dan ia dijadikan sandaran menghasilkan rekaan bermutu dengan gayanya yang tersendiri.

Mencantikkan lagi hasil tenunan songket, beliau memasukkan unsur-unsur teknik ikat yang dipraktikkan dalam tenunan pua yang masyhur di Sarawak. Produk hasil tenunan songket dipelbagai, selain kain bermeter untuk dijadikan sampin dan pakaian.

Bibah Songket turut menghasilkan songket hiasan dinding, alas dulang dan meja, kotak hiasan, hiasan ayat-ayat suci al-Quran dan yang terbaru, Habibah berkebolehan mengadaptasikan corak lukisan ke dalam bentuk tenunan songket.

Pengarah Urusan kepada syarikat Bibah Songket yang beroperasi di Kampung Rhu Renggeh, Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu kini berkongsi minat dan kecenderungan dengan anak keduanya Sabrena Shamsul Bahrain 26, yang kini membuka pejabat untuk urusan pemasaran di Kuala Lumpur.



Older post Newer post