Cart 0

Kurang penenun mahir pasaran songket terjejas - Sinar Harian

Kurang penenun mahir pasaran songket terjejas - Sinar Harian

PRESS 12

Kurang penenun mahir pasaran songket terjejas

12 Oktober 2015

Foto: Sabrena menunjukkan selendang songket yang bercorak burung merak. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


SONGKET merupakan warisan unggul dan mempunyai nilai tersendiri dalam masyarakat Melayu. Ia dicorakkan dengan penuh kehalusan dan berseni supaya tidak lapuk dek zaman. Dengan kebijaksanaan menghasilkan songket unik ini menyebabkan ia kekal indah.


Fungsi songket terus diperluas, tidak hanya dijadikan pakaian perkahwinan, majlis keraian, istiadat tertentu atau pakaian bermusim.

Ia diinovasi menjadi hasil seni lain seperti perhiasan dinding, alas meja, alas pinggan, sarung bantal dan kusyen serta direka untuk fesyen kontemporari.

Kebiasaannya, songket yang ditenun dengan cara tradisional menjadi pilihan berbanding yang penggunaan teknologi terkini kerana ia unik dan eksklusif.

Biarpun rekaan dan warna mungkin sama, namun kualitinya jauh berbeza kerana hasil tenunan tangan khususnya daripada Malaysia jauh lebih halus pembuatannya berbanding yang lain.

Namun, sekarang songket tenunan tangan ini dilihat semakin terpinggir kerana songket-songket yang dibawa dari negara luar seperti India, Pakistan dan Indonesia semakin memonopoli pasaran.

Sinonim dengan peradaban Melayu, ia dibimbangi semakin pudar termasuk saingan luar namun ada pihak yang mempertahankan kerana beranggapan songket adalah khazanah bernilai negara.

Bagaimanapun, ke mana hala tuju songket jika lambakan dan klon songket negara luar menembusi pasaran Malaysia.

INDUSTRI songket masih mempunyai permintaan tinggi namun kekangan pakar penenun menyebabkan kehalusan songket buatan tangan kian pupus.

Ketua Bahagian Pemasaran dan Jualan Habibah Enterprise Sdn Bhd, Sabrena Shamsul berkata, pengeluaran songket bergantung pada permintaan yang masih mahukan tenunan tangan.

Songket hasil tenunan tangan mempunyai nilai seni dan berkualiti berbanding mesin yang dilihat kasar.

“Saya yakin, masyarakat Melayu masih mahu dan menghargai nilai seni songket tenunan tangan. Mereka bukan sahaja membeli songket untuk dijadikan pakaian, malah sebagai perhiasan.

“Namun, setelah mengalami proses inovasi, songket diperluas lagi penggunaannya seperti dijadikan perhiasan antaranya alas meja, sarung kusyen dan hadiah korporat. Bukan hanya Melayu, ia turut menjadi pilihan bangsa lain seperti Cina, India serta pelancong asing,” katanya.

Songket tenunan tangan dilihat semakin pupus kerana ia diusahakan golongan tua di kawasan kampung di Terengganu.

“Jika tiada generasi baru menguasai ilmu tenunan ini, dibimbangi ia akan pupus pada 10 tahun lagi.

“Kebanyakan generasi muda tidak gemar industri tenunan songket. Ada yang hanya belajar tetapi tidak menjadikannya sebagai kerjaya. Faktor ini menyebabkan kekurangan penenun songket mahir,” katanya.

Untuk menjadi pakar tenun, mereka perlu mempunyai pengalaman menenun sekurang-kurangnya lima hingga enam tahun.


“Sayang jika tidak ada pelapis, ia akan terus berkubur. Dengan adanya Kompleks Tuanku Nur Zahirah (YTNZ), ia adalah pendekatan kerajaan negeri untuk membantu industri songket di Terengganu.

“Ia dibangunkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu yang menjadi pusat utama rujukan pameran, demonstrasi, bimbingan, rekaan dan penyelidikan penyeranian pembangunan fabrik songket,” katanya.

Lambakan songket luar

Sejak beberapa tahun lalu, songket tenun tangan mempunyai persaingan daripada songket yang dibuat menggunakan teknologi mesin.

“Syarikat saya masih mengekalkan cara tradisional menghasilkan songket walaupun lambat disiapkan dan rumit. Jika mesin tenun digunakan, ia lebih mudah dan cepat disiapkan, tetapi corak dihasilkan tidak sehalus buatan tangan. Buatan tangan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk songket berukuran 1.5 meter.

“Jika menggunakan mesin, penenun boleh menghasilkan 20 meter songket sehari dan hanya menggunakan satu warna sahaja untuk corak. Bagi cara tenunan tradisional, ia boleh menghasilkan pelbagai warna,” katanya.

Selain kekurangan penenun, penggunaan mesin, industri songket tempatan juga berdepan dengan lambakan songket luar negara antaranya dari Pakistan dan India.

“Kita tidak boleh menyalahkan kehadiran songket dari sana kerana ada permintaan songket dari kedua-dua negara tersebut. India menghasilkan songket sama seperti Malaysia kerana mereka mengkaji dan mempelajari selok-belok tenun yang diwarisi negara kita,” katanya.

Bagaimanapun, hasil tenunannya tidak sama kerana ia tampak kasar berbanding hasil tenunan Malaysia yang lebih halus dan berseni.

Sabrena mengakui, songket akan terus bertahan jika semua pihak terutamanya kerajaan menyediakan platform terbaik untuk membangunkan industri songket.


sinar harian



Older post Newer post